ayah..


posted by umiradhi on ,

No comments

2 November 2010

Pagi itu aku bersiap awal. Selesai bersarapan dengan suami dan memohon izin darinya, aku memandu balik ke Besut. Entah mengapa, hatiku melonjak untuk pulang. Mindaku memikirkan ayah yang sakit di kampung.

Sudah beberapa hari aku tidak pulang menjenguk ayah. Tugasku sebagai wartawan yang bekerja tanpa menghitung hari menyukarkan aku menatap wajah ayah. Tanpa melihat fizikalnya, aku hanya mampu bertanya khabar ayah melalui panggilan telefon.

“Ayah ok, keadaan dia macam itulah, hari ini dia tidak mahu makan. Kamu jangan bimbang,” jawab ibu bila aku menghubunginya bertanyakan tentang ayah.

Aku tahu ayah sebenarnya makin tenat. Jawapan ibu hanya untuk mententeramkan aku di perantauan. Aku kenal sikap ibu. Dia seboleh-bolehnya enggan menyusahkan anak-anak.
Jadi aku tidak menghiraukan kata-kata ibu. Walaupun terpaksa pulang bersendirian, aku rela.

Dalam keadaan perut memboyot, aku gagahkan diri untuk pulang. Sepanjang dua jam perjalanan pulang, aku hanya bercakap dengan anakku. Sambil mengusap perutku, aku katakan padanya, “kita pulang nak tengok atuk”.
Seolah-olah faham dengan kata-katanya, sesekali dia menendang perutku. Aku bahagia.

Aku sampai kira-kira jam 11 pagi. Sebaik melangkah masuk, aku lihat sekujur tubuh ayah di atas tilam. Matanya pejam, nafasnya turun naik. Aku pegang tangan ayah dan memanggil namanya supaya ayah tahu aku pulang menjenguknya. Dia membuka matanya dan memandang aku. Tapi cuma sekejap. Matanya dipejam kembali. Biarlah, aku tahu ayah letih. Ingin membuka matanya pun tidak larat.

Bagaimana ayah tidak letih jika sudah tiga hari tidak menjamah nasi. Selera ayah sudah hilang. Berilah segala jenis makanan lazat sekalipun, kemahuan ayah sudah mati. Puas dipaksa namun dia enggan. Hanya minum seteguk air, itupun setelah dipaksa.

Aku pandang ayah, hatiku dipagut rasa sayu. Tubuh ayah semakin kurus, matanya cengkung, kulitnya sudah menggeleber, bibirnya kering. Hendak berdiri pun ayah sudah tidak mampu.

Penyakit barah benar-benar meragut segala kemampuan ayah. Tidak ada lagi tangan yang rajin mengait jala di waktu petang. Tidak ada lagi kaki yang melangkah gagah ke kebun. Tidak ada lagi suara yang lantang menyergah jika aku tidak mengikut cakapnya. Semua hilang sekelip mata, setelah penyakit itu kami tahu sudah berada pada tahap kronik.

Aku sentiasa berharap agar ayah sembuh dan kembali seperti dulu. Aku sentasa menidakkan kata-kata doktor yang meramalkan hayat ayah hanya mampu bertahan tiga bulan. Aku tidak mahu menerima hakikat bahawa barah hati dan paru-paru ayah memang sudah tidak mampu diubati. Jauh di sudut hati, berdoa agar Allah S.W.T panjangkan usia ayah.
Sekurang-kurangnya ayah dapat melihat cucunya, anak sulungku yang ketika itu dalam kandungan. Aku ingin ayah tahu, anaknya yang dulu degil, nakal, suka mendengar cerita tauladannya, mengikutnya menziarah saudara sudah bergelar ibu. Dalam erti kata lain benar-benar dewasa.

Tapi benarlah, kita hanya mampu merancang tapi Allah S.W.T menjadi penentu segalanya.

Tengahari itu ayah tiba-tiba muntah. Bukan muntah biasa tapi muntah darah berwarna hitam pekat. Aku panik, ibu juga begitu. Lantas ku capai telefon bimbit, cuba hubungi abang-abang dan kakak-kakakku. Terkocoh-kocoh mereka pulang.

Ayah makin lesu, terbaring lemah di pembaringan. Disuakan makanan, dia geleng. Air juga begitu. Ayah hanya meminta kami memicit badannya. Dan kami bergilir-gilir menuruti permintaannya. Dengan sayu, aku menyentuh ayah yang sudah tinggal rangka. Aku ramas betisnya, pahanya, lengan dan tangannya.

Jam 6 petang, keadaan ayah semakin teruk. Wajahnya makin pucat, kakinya sejuk. Kali ini kami adik beradik berada di sisinya. Aku bacakan surah Yasin buat ayah. Dalam nada tersedu-sedu, aku gagahkan diri habiskan surah itu. Semuanya demi ayah. Aku tidak mahu dia melihat air mataku.

Jam 10 malam, keadaan ayah menjadi lebih serius. Aku sedar, saat ayah sudah hampir tiba. Orang ramai sudah memenuhi ruang rumahku. Aku tidak pedulikan semua itu. Tumpuanku kini hanya pada ayah. Aku mengusap badan ayah, abangku pula mengajar ayah mengucap. Supaya ayah tidak lupa kepada Allah S.W.T.

Tepat jam 12.10 malam, 3 November 2010. Ayah akhirnya pergi mengadap ilahi. Tiada lagi suara ayah, tiada lagi tawa ayah, tiada lagi kelibat ayah, tiada lagi wajah ayah. Semuanya sudah berakhir. Ku tinggalkan jasad ayah yang sudah kaku.

Di satu sudut, kuhamburkan segala kesedihan yang sekian lama kupendam, air mata itu bukan kerana aku enggan menerima hakikat kematian ayah, aku cuma menangisi kehilangan seorang lelaki bergelar ayah. Aku tidak mampu menahannya, sakit dadaku hanya Allah S.W.T saja yang tahu. Jadi, biarlah empangan air mataku pecah.

Hari ini, 3 November 2011.
Genap setahun pemergian ayah.
Ayah sentiasa ada dalam hati aku, tiap detik, waktu dan ketika. Al-Fatihah buat ayah, semoga Allah S.W.T ampunkan segala dosa ayah.

Leave a Reply